Khamis, 4 Ogos 2011

Mahabbah Nur Ilahi


alt    Ku mencari cinta nan suci,
Tanpa pengaruh nafsu duniawi,
Terasa sukar jalan yang ditempuhi,
Penuh liku dan onak duri.
Sudah lama ku mencari-cari,
Cinta yang suci tidak bertepi,
Setelah lama ku menghausi,
Akhirnya, cinta murni-Mu dimiliki hati.
Ya Allah, cinta-Mu,
Sungguh indah dan syahdu,
Ya Rahman, Kasih-Mu,
Mencairkan hatiku yang keras dan kaku.
Titisan hidayah-Mu penyejuk jawarih ini,
Dingin mengalir bagai dibasahi,
Ku cuba dekati, dan ku pasti,
Rahmat-Mu selautan mata air Firdausi.
Ya Allah, redha-Mu ku cuba suluhi,
Agar ku bisa bertemu dengan-Mu nanti,
Moga redha-Mu mengiringi roh ini,
Menerusi cahaya mahabbah Ilahi...

Al-Mizan Cinta dan Cita-Cita

alt
"Cintaku 
bukan di atas kertas,
cintaku getaran yang sama,
tak perlu dipaksa, tak perlu dicari,
kerna ku yakin ada jawabnya."
Tutuplah kelopak mata dan selamilah pengertian sedalam lautan kalimah CINTA. Dengarkanlah setiap rentak dalam nalurimu apabila ungkapan romantis CINTA dituturkan, saat tangis seakan gerimis, saat jiwa seakan berduka dan saat hati seakan sunyi. Benarkah kata orang CINTA tidak punya mata tapi hanya ada hati.
Kebanyakan kita mentafsir cinta dengan membayangkan sepasang kekasih, tersimpul dalam ikatan kasih sayang, mengalir sederas aliran di detak rindu, berbenih dan berbunga di telaga sukma. Hakikatnya, CINTA adalah ungkapan yang bukan sekadar ungkapan. CINTA adalah sebuah anugerah yang nilainya bukan segunung waima selautan emas sekalipun. Yakinlah, suburnya keimanan, teguhnya kepercayaan dan tulusnya kehambaan adalah kerana wujudnya CINTA.
Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W:
"Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia  mengasihi dirinya sendiri."
CITA-CITA adalah garapan impian dan harapan seseorang akan masa depannya. Motivasi paling setia dalam rangka sebuah kejayaan, pembakar semangat kental dalam menapak maju kehadapan. Sebuah eskalator termaju dalam pencarian erti kehidupan sebenar. Insan tanpa CITA-CITA, ibarat aliran air dari pergunungan menuju ke dataran rendah. Terus mengalir namun tiada pedoman arah tujunya. CITA-CITA adalah ibarat sebuah bangunan, terbina dari susunan batu-bata kekentalan, tercantum dengan simen pengetahuan dan terteguh dengan pasir keyakinan. CITA-CITA bukanlah hanya ingin menjadi ternama, mempunyai prospek kerjaya mahupun menjadi usahawan berjaya, namun CITA-CITA tertinggi adalah menggapai keredaan Illahi duniawi juga ukhrawi.
Renungilah, apakah wujud al-Mizan CINTA dan CITA-CITA? Perlukah CINTA itu dipisahkan dengan CITA-CITA? Mampukah CITA-CITA itu dipertahankan tanpa sebuah CINTA? Haruskah CINTA itu hadir setelah diperoleh CITA-CITA?
Percayalah, CINTA dan CITA-CITA adalah dua komponen yang seiring landas geraknya, saling melengkapi dalam memperteguh matlamat keduanya. Ibarat perlunya malam kepada siang, signifikannya suami kepada isteri dan hadirnya cahaya dalam kegelapan.
Dalam travelog CITA-CITA, kita perlukan kekuatan, menahan segala dugaan dan rintangan yang bukan sedikit cuma. Dan, hadirnya CINTA sebagai sumur dalam perjuangan.
Sebab itulah perlu ditegaskan bahawa pengertian CINTA itu luas lingkup tafsirannya. Rahmat Allah adalah CINTA buat  kita, kasih sayang ibu bapa adalah CINTA buat kita, sokongan sahabat-sahabat adalah CINTA juga buat kita. Mustahillah, bagi kita andai dikatakan semua ini tidak perlu dalam mengejar kemurniaan CITA-CITA. CINTA adalah teman setia CITA-CITA. Raja kepada CINTA ini adalah hati yang dijalin atas nama Maha Pencipta.
Oleh itu, fikirlah tentang al-Mizan CINTA dan CITA-CITA. Yang halus timbangannya, atas reda Allah CINTA dan CITA-CITA bersatu. Walaupun siapa kita, tanah mana kita berpijak dan langit mana kita bernaung, janganlah sesekali kita pisahkan keduanya. Moga atas jambatan CINTA Allah, bertautlah keimanan tulus dalam naluri kita yang kudus, dan moga atas rahmat Allah jugalah, CITA-CITA yang digarap atas nama CINTANYA mampu digapai dalam inayahnya.

Cinta Islamik?


alt
Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam. Antara ayat-ayat yang kerap mereka ucapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah:
'ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..'
'saya cintakan awak kerana Allah..'
'Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..'
Firman Allah S.W.T:
"Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)
Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.
'macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!'
'kalau minta 'break', nanti dia sanggup tunggu aku ke?'
'
'tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun 'couple'
'kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..'
Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.
Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100%  tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.
Firman Allah di dalam Surah An-Nur:
"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26)
Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi 'realiti kehidupan' ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Al-Furqan 25:74")
Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.

Bila Cinta Berputik. Adakah Dia Jodohku?

alt
"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,
Membawa perangsang.
Tiada terfikir, Terlintas,
Engkaukan membuka,
Sempadan perasaan.
Bunga kembang bertali hati, Bunga kembang di puncak akli"
Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.
Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.
Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.
Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!
Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.
Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!
Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?
Oleh sebab itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan di mana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.
Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.
Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.
Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?
Pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.
Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala di luar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.
Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.
Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.
Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah S.W.T, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.
Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah S.W.T.